Asnaf Fakir


Seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau ‘vokasion’ atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang tidak sampai 50% daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungannya.

Sabda Rasulullah s.a.w

Maksudnya:

“Ajarkan kepada mereka bahawa Allah mewajibkan mereka berzakat yang dikenakan kepada orang-orang kaya untuk diberikan kepada golongan miskin”

(HR al-Bukhari)




Asnaf Miskin


Mana-mana orang yang mempunyai harta atau pendapatan daripada ‘vokasion’nya yang tidak mencukupi keperluan sehariannya dan orang-orang tanggungannya.

Sabda Rasulullah s.a.w

Maksudnya:

“Orang miskin bukanlah yang tidak mempunyai sebuah atau dua buah kurma, tidak pula sesuap atau dua suap (makanan), sesungguhnya orang miskin itu adalah yang menjaga kehormatan diri (tidak mengemis).”

(HR al-Bukhari)




Asnaf Amil


Seorang yang dilantik oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi memungut zakat di dalam Negeri Sabah mengikut hukum Syarak.

Sabda Rasulullah s.a.w




Maksudnya:

“Tidak halal sedekah (zakat) bagi orang kaya kecuali dalam lima hal. Pertama, orang yang berperang di jalan Allah. Kedua, kerana jadi Amil zakat.”

(HR Abu Daud)




Asnaf Mualaf


Seseorang yang baharu memeluk agama Islam dan memerlukan bantuan kewangan.

Sabda Rasulullah s.a.w

Maksudnya:

“Bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah dimintai sesuatu untuk kepentingan Islam kecuali pasti beliau memenuhi permintaan tersebut. Pernah datang kepadanya seseorang meminta sesuatu, lalu beliau memerintahkan mengambil bahagian yang banyak dari harta zakat, terletak di antara dua gunung. Lantas orang itu kembali kepada kaumnya dan berkata: wahai kaum ku, masuk Islamlah kamu semua, kerana sesungguhnya Muhammad itu memberi pemberian orang yang tidak khuatirkan kefakiran.”

(HR Ahmad)




Asnaf al-Riqab


Seseorang yang ditahan sebagai hamba atau belenggu yang memerlukan bantuan untuk membebaskan dirinya daripada apa-apa tanggungan yang telah dikenakan ke atas dirinya.

Firman Allah s.w.t

Maksudnya:

“Dan hamba-hamba kamu (lelaki dan perempuan) yang hendak membuat surat perjanjian untuk memerdekakan dirinya (dengan jumlah bayaran yang tertentu), hendaklah kamu melaksanakan perjanjian itu dengan mereka jika kamu mengetahui ada sifat-sifat yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian); dan berilah kepada mereka dari harta Allah Yang telah dikurniakan kepada kamu”

(QS al-Nur (24):33)



Sabda Rasulullah s.a.w



Maksudnya:

“Ada tiga golongan manusia yang Allah s.w.t berhak untuk mendapatkan pertolongan …al-Mukatab (mereka yang dijanji kemerdekaan dengan cara menebus diri) yang ingin membayar (tebusannya).”

(HR Ahmad)




Asnaf al-Gharimin


Seseorang yang berhutang wang atau harta untuk kegunaan orang awam sebagaimana yang dibenarkan oleh hukum Syarak.

Sabda Rasulullah s.a.w



Maksudnya:

“Tidak halal sedekah (zakat) bagi orang kaya kecuali dalam lima hal. Pertama, orang yang berperang di jalan Allah. Kedua, kerana jadi Amil zakat. Ketiga, orang berhutang.”

(HR Abu Daud)




Asnaf Fisabilillah


Seorang yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti, atau aktiviti-aktiviti untuk menegak, mempertahankan dan menyebarkan agama Islam serta kebajikannya.


Firman Allah s.w.t



Maksudnya:

“Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”

(QS al-Anfal (06):60)



Sabda Rasulullah s.a.w



Maksudnya:

“Tidak halal sedekah (zakat) bagi orang kaya kecuali dalam lima hal. Pertama, orang yang berperang di jalan Allah.”

(HR Abu Daud)




Asnaf Ibnu Sabil


Mana-mana orang dalam perjalanan bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh hukum Syarak dari mana-mana jua negeri yang memerlukan bantuan walaupun mungkin dia mempunyai harta di dalam negeri tempat kediamannya.

Firman Allah s.w.t



Maksudnya:

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).”

(QS al-Baqarah (02) : 215)