Apa Itu Zakat?


1. KEDUDUKAN ZAKAT DI DALAM ISLAM

Menunaikan (membayar) zakat merupakan RUKUN ISLAM yang ketiga. Ia diwajibkan ke atas setiap orang islam yang telah cukup syarat-syaratnya untuk berzakat.Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W :

سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يَقُولُ: بُنِيَ الاِسْلاَمُ عَلىَ خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَن لاَ اِلَهَ اِلاَّ الله وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ وَاِقَامِ الصَلاَةِ وَاِيتَاءِ الزَكَاةِ وَحَجِّ البَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya:

“Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Islam didirikan atas lima dasar iaitu bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah dan Muhammad s.a.w adalah Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadan.”

(HR Bukhari dan Muslim)


2. ZAKAT DARI SUDUT BAHASA

Bersih, Suci, Subur, Berkat dan Berkembang


3. ZAKAT DARI SUDUT ISTILAH

Nama bagi sebahagian daripada harta benda yang dikeluarkan atas perintah Allah s.w.t kepada amil yang ditauliahkan sebagai sedekah wajib untuk diagihkan kepada mereka yang telah ditetapkan menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak


4. HUKUM MENUNAIKAN ZAKAT

Zakat adalah Fardhu Ain ke atas setiap orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajib. Oleh itu, seseorang muslim yang mengingkari kefardhuan zakat boleh mengakibatkan murtad. Manakala individu muslim yang meninggalkan zakat tanpa mengingkari kewajipannya adalah berdosa besar. Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat.


4. HIKMAH BERZAKAT

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.”

(QS al-Baqarah (02) : 254)


Maksudnya:

“Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan”.

(QS al-Baqarah (02) :110)


Maksudnya:

“Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikanNya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang Musyrik tidak menyukainya.”

(QS al-Taubah (09) : 103)


أَتىَ رَجُلٌ مِنْ بَنِي تَمِيمٍ رَسُولَ اللهِ صَلىَّ اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّم- فَقَالَ يَا رَسُولَ اللهِ اِنِّي ذُو مَالٍ كثَيِرٍوَذُو أَهْلٍ وَوَلَدٍ وَحَاضِرَةٍ, فَأَخْبِرْنِي كَيْفَ أُنْفِقُ وَكَيْفَ أَصْنَعُ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ تُخْرِجُ الزَكَاةَ مِنْ مَالِكَ فَاِنَّهَا طُهْرَةٌ تُطَهِّرُكَ وَتَصِلُ أَقْرِبَاءَكَ

Maksudnya:

“Seseorang lelaki daripada Bani Tamim telah datang kepada Rasulullah s.a.w lalu bertanya: “Wahai Rasulullah aku memiliki harta yang banyak juga mempunyai keluarga dan anak-anak. Terangkan kepada ku, bagaimanakah harus membelanjakannya dan apakah yang harus aku buat?”. Jawab Rasulullah s.a.w : “Engkau keluarkanlah zakat sebahagian daripada hartamu kerana sesungguhnya ia (zakat) adalah penyuci yang menyucikanmu dan engkau menghubungkan silaturrahim kaum kerabatmu.”

(HR Ahmad)


فَرَضَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ زَكَاَةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ

Maksudnya:

“Rasulullah s.a.w telah memfardhukan zakat fitrah (pada bulan Ramadan) untuk mensucikan bagi orang yang berpuasa daripada segala perbuatan lagha (keji) dan perkataan yang buruk (yang dilakukan ketika sedang berpuasa) dan untuk dijadikan makanan bagi orang-orang yang miskin.”

(HR Abu Daud)


5. BALASAN AZAB KERANA GAGAL MENUNAIKAN ZAKAT

Maksudnya:

“Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari karunia-Nya menyangka, bahwa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka, harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat, dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

(QS Ali ‘Imran (03) : 180)


Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka Jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”

(QS al-Taubah (09) : 34-35)


دَخَلْتُ أَنَا وَخَالَتِي عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهَا أَسْوِرَةٌ مِنْ ذَهَبٍ فَقَالَ لَنَا أَتُعْطِيَانِ زَكَاتَهُ قَالَتْ فَقُلْنَا لَا قَالَ أَمَا تَخَافَانِ أَنْ يُسَوِّرَكُمَا اللَّهُ أَسْوِرَةً مِنْ نَارٍ أَدِّيَا زَكَاتَهُ

Maksudnya:

“Saya (Asma’ binti Yazid) masuk bersama ibu saudaraku menemui Rasulullah dan saat itu ibu saudaraku memakai beberapa gelang dari emas. Rasulullah s.a.w bertanya kepada kami, “Apakah kalian sudah mengeluarkan zakat ini?” Kami jawab, “Tidak.” Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidakkah kalian takut kalau nantinya Allah akan memakaikan kepada kalian gelang dari api neraka. Oleh kerananya, keluarkanlah zakatnya.”

(HR Ahmad)


Dalil Kewajipan Zakat

Perintah menunaikan Zakat sering digandingkan dengan perintah mendirikan Solat. Ini terkandung dalam lapan puluh dua (82) ayat al-Quran dalam surah, ayat dan perkataan (kalimah) yang berbeza akan tetapi memberi maksud yang sama (al-Saiyed Sabiq).


1. DALIL MENURUT AL-QURAN

Maksudnya:

“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan ruku’lah kamu semua (berjamaah) bersama-sama orang-orang yang ruku’.”

(QS al-Baqarah (02) : 43)


Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.”

(QS al-Baqarah (02) :267)


Maksudnya:

“Dan Dialah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar, dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya, dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya), makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya, dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan), Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.”

(QS al-An’am (06) : 141)


Maksudnya:

“Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”

(QS al-Zariat (51) : 19)


Maksudnya:

“Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikanNya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang Musyrik tidak menyukainya.”

(QS al-Taubah (09) : 103)


Maksudnya:

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu).”

(QS al-Mukminun (23) : 1-4)


1. DALIL MENURUT HADIS

الإِسْلاَمُ أَن تَشْهَدَ أَن لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهِ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ، وَتُقِيمَ الصَّلاَةَ وَتُؤْتِىَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ، وَتَحُجَّ الْبَيْتَ اِنْ اسْتَطَعْتَ اِلَيْهِ سَبِيْلاً

Maksudnya:

“Islam ialah kamu bersaksikan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya kecuali Allah dan Muhammad adalah Rasulullah, kamu mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji di Baitullah sekiranya kamu mampu.”

(Muttafakun ‘alahi)


لَيْسَ عَلَيْكَ شَيءٌ - يَعْنِي فِي الذَّهَبِ - حَتَّى تَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا، فَإِذَا كَانَتْ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا وَحَالَ عَلَيْهَا الحَوْلُ فَفِيْهَا نِصْفُ دِينَارٍ، فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ

Maksudnya:

“Tidak wajib atas engkau sesuatu (pada emas) sehingga engkau memiliki 20 dinar dan cukup haul (setahun), maka wajiblah zakat padanya ½ dinar (2.5%) maka sekiranya lebih dari (20 dinar), hendaklah ia hisap (kira) mengikut lebihannya itu (2.5%) daripada keseluruhannya”

(HR Abu Daud)


فِيْمَا سَقَتِ السَّمَاءُ وَالْعُيُوْنُ، أَوْ كَانَ عَثَريّاً : الْعُشُرُ، وَمَا سُقِيَ باِلنَّضْحِ: نِصْفُ الْعُشُرِ

Maksudnya:

“Pada pertanian yang tadah hujan atau mata air atau yang menggunakan penyerapan akar (Atsariyan) diambil sepersepuluh dan yang disirami dengan penyiraman maka diambil seperduapuluh.”

(HR al-Bukhari)


فِي أَرْبَعِينَ شَاةً شَاةٌ

Maksudnya:

“Pada empat puluh ekor biri-biri dikenakan (zakat) seekor biri-biri”

(HR Ibn Majah)


صَدَقَةُ الْفِطْرِ صَاعُ تَمْرٍ أَوْ صَاعَ شَعِيْرٍ عَنْ كُلِّ رَأْسٍ صَغِيْرٍ أَوْ كَبِيْرٍ، حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ، ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، غَنِيٍّ أَوْ فَقِيْرٍ، أَمَّا غَنِيُّكُمْ فَيُزَكِّيْهِ اللهُ، وَأَمَّا فَقِيْرُكُمْ فَيُرَدُّ اللهُ أَكْثَرَ مِمَّا أَعْطَى

Maksudnya:

“Zakat fitrah itu segantang kurma atau segantang sya’er (gandum) dari tiap-tiap orang kecil atau besar, merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan, kaya atau miskin. Adapun orang yang kaya, maka Allah akan sucikannya, sedangkan orang fakir Allah akan mengembalikan kepadanya lebih banyak dari yang ia berikan”

(HR Abu Daud)



Pembahagian Zakat

Secara umumnya, Jumhur Ulama mengkelaskan Zakat kepada 2 kategori, iaitu


1. Zakat Badaniah / Zakat Fitrah

Zakat Fitrah adalah zakat diri yang dikeluarkan pada setiap Bulan Ramadan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Syarak.



2. Zakat Mal / Zakat Harta

Zakat Harta meliputi harta seperti berikut ;

i. Penggajian

ii. Pendapatan

iii. Perniagaan

iv. Wang Simpanan

v. KWSP / LTAT

vi. Saham / Bon

vii. Emas

viii.Perak

ix. Pertanian (Padi)

x. Binatang Ternakan

xi. Gakian dan Harta Karun


Syarat Wajib Zakat

SYARAT WAJIB ZAKAT FITRAH

Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri, keluarga dan tanggungannya hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:
1. Mempunyai lebihan makanan atau harta dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya;
2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir Ramadaan dan masih hidup selepas terbenam matahari;
3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya; dan
4. Seseorang yang meninggal dunia selepas terbenam matahari akhir Ramadan.


SYARAT WAJIB MENGELUARKAN ZAKAT HARTA

1. ISLAM

Pemilik harta mestilah seseorang yang beragama Islam kerana zakat disyariatkan kepada orang Islam sahaja. Golongan bukan Islam tidak diminta untuk mengeluarkan zakat kerana zakat adalah ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT serta menzahirkan kepatuhan diri sebagai seorang hamba.

Bagi tujuan pengeluaran Zakat Perniagaan, sekiranya peratusan pemilikan saham bercampur antara pemegang saham Muslim dan bukan Muslim, taksiran dibuat pada entiti keseluruhannya tetapi Zakat Perniagaan hanya bahagian atau peratusan pemegang saham yang beragama Islam sahaja yang dikenakan zakat


2. MERDEKA

Bebas daripada cengkaman penghambaan. Isu hamba tidak timbul pada masa kini, tetapi syarat merdeka masih lagi dikekalkan oleh para ulama sebagai salah satu syarat wajib berzakat.


3. MILIK SEMPURNA

Pemilikan terhadap sesebuah harta hendaklah jelas di mana tiada orang lain yang berhak ke atasnya melainkan dirinya sendiri. Dengan pemilikan sempurna, sesuatu harta tidak tertakluk kepada hak pihak lain. Pemiliknya mampu mengendalikan harta tersebut secara bebas dan keuntungan daripadanya juga kembali kepada pemiliknya. Maka, tidak wajib zakat kepada harta yang tidak mempunyai pemilik tertentu atau dimiliki oleh awam seperti tanah wakaf, harta baitulmal dan seumpamanya.


4. CUKUP NISAB

Sesuatu harta yang dimiliki hendaklah mencukupi nisab yakni paras minima yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta itu dikeluarkan zakat.

Umumnya, setiap kategori harta mempunyai kadar nisabnya yang tersendiri. Misalnya bagi Zakat Penggajian, Pendapatan, Perniagaan, Wang Simpanan, KWSP, LTAT, Saham, Emas dan Perak, nisabnya adalah nilaian 20 mithqal (85 gram emas). Manakala nisab bagi Zakat Pertanian adalah 5 wasaq (atau awsuq). Bagi nisab Zakat Ternakan adalah berpandukan ukuran ketetapan yang telah dinyatakan dalam nas hadis.


5. CUKUP HAUL

Cukup haul bermaksud telah berlalu satu tahun ke atas harta yang dimiliki dalam perkiraan tahun Hijrah iaitu selama 354 hari atau mengikut tahun masihi iaitu selama 365 hari / 366 hari (tahun lompat). Pada asalnya, asas perkiraan haul adalah mengikut tahun Hijrah, namun oleh kerana kebiasaan (uruf) pada hari ini penggunaan tahun masihi mengatasi penggunaan tahun Hijrah, maka praktis pengiraan zakat lebih tertumpu kepada kalendar tahun masihi.

Haul menjadi syarat dan penyelaras dalam sistem zakat. Pensyaratan haul terhadap sesetengah harta adalah pendapat jumhur ulama dan sebahagian mereka menukilkan ijmak. Namun ulama telah menetapkan bahawa pensyaratan haul tidak meliputi seluruh sistem zakat di mana ia disyaratkan kepada beberapa jenis zakat seperti Emas, Perak, Simpanan, Perniagaan dan Ternakan. Manakala Zakat Penggajian, Pendapatan, Pertanian, Saham dan Rikaz tidak disyaratkan haul.


6. HARTA BERKEMBANG (AL-NAMA’)

Harta yang akan dikenakan zakat mestilah harta yang berkembang atau berpontensi untuk berkembang. Sifat berkembang harta adalah sifat yang memberikan pulangan dan pendapatan kepada pemiliknya.

Secara praktis, ulama sejak zaman-berzaman tidak mewajibkan zakat terhadap haiwan yang dijadikan kenderaan, rumah kediaman, perabot rumah, alat-alat pekerjaan, dan lain-lain yang sifatnya tidak berkembang kerana ia dijadikan semata-mata untuk kegunaan peribadi. Syarat ini sebenarnya selari dengan makna asal perkataan ‘zakat’ dalam bahasa Arab yang memberi maksud bertambah dan berkembang.

Antara sebab zakat hanya diwajibkan atas harta yang berkembang ialah agar pembayaran zakat tidak membawa kepada penyusutan harta. Lebih-lebih lagi sekiranya harta tersebut hanya satu-satunya sumber untuk kelangsungan hidup pemiliknya, maka jikalau zakat tetap dikenakan sudah tentu akan membawa kesusahan kepada pemiliknya.


7. SUMBER HARTA / HASIL ADALAH HALAL DAN SAH

Hasil pendapatan atau harta yang diperolehi mestilah bersumberkan daripada sumber yang halal dan diperolehi melalui cara yang sah menurut undang-undang dan syariah Islam.

Oleh yang demikian, harta atau pendapatan yang diperolehi daripada hasil rompakan atau perjudian tidak diwajibkan untuk dizakatkan. Begitu juga dengan hasil feadah atau dividen yang diterima melalui cara konvensional atau tidak patuh syariah tidak diwajibkan untuk menunaikan zakat.


(SYARAT TAMBAHAN KHUSUS UNTUK ZAKAT PERNIAGAAN)

1. NIAT UNTUK BERNIAGA

Berniat untuk mendapatkan perolehan dan keuntungan. Ia juga perlu dibuktikan dengan amalan. Niat adalah untuk mendapat keuntungan, manakala amalan ialah menjalankan perniagaan. Kedua-dua unsur ini hendaklah wujud bersama secara berterusan.

Tujuan atau niat perniagaan mestilah dilakukan ketika memiliki barangan sama ada melalui ‘iwad (tukaran atau balasan) atau cara lain dan aset tersebut akan menjadi sebahagian daripada aset yang dipunyai oleh perniagaan dengan tujuan diperniagakan untuk mendapatkan perolehan atau keuntungan. Sesuatu aset atau barangan yang pembeliannya tidak bertujuan perniagaan seperti untuk tabung khairat kematian, tujuan pendidikan dan sebagainya, harta tersebut tidak termasuk dalam pengiraan zakat.

Syarat berniaga ini terikat kepada kewujudan dua elemen, iaitu niat dan amalan. Niat adalah untuk mendapat keuntungan, manakala amalan ialah menjalankan perniagaan. Kedua-dua unsur ini hendaklah wujud bersama secara berterusan.


2. BARANG PERNIAGAAN DAN PERKHIDMATAN YANG HALAL

Barang Perniagaan dan Perkhidmatan yang Halal. Perniagaan yang halal sahaja yang diwajibkan zakat. Semua bentuk perniagaan yang haram, sama ada dari segi zatnya seperti arak dan khinzir ataupun perniagaan perjudian dan riba adalah tidak diwajibkan zakat.

Jumhur ulama (selain Hanafiyah) mensyaratkan harta itu perlu diperoleh dengan cara tukaran seperti jual beli dan sewaan. Jika aset entiti perniagaan diperoleh dengan cara selain tukaran seperti melalui pusaka, hibah atau sedekah, maka ia tidak diwajibkan zakat sehingga barangan itu diniagakan.


(SYARAT TAMBAHAN KHUSUS UNTUK ZAKAT TERNAKAN)

1. DIGEMBALAKAN

Diurus sepanjang tahun untuk memperoleh susu, dibiakkan atau diperoleh dagingnya. Binatang-binatang ternakan juga perlu “saaimah” ertinya binatang-binatang itu dipelihara di padang ternakan bebas bagi kebanyakan hari dalam tempoh setahun. Yang dimaksud padang rumput yang mubah adalah padang rumput yang tumbuh dengan sendirinya dan bukan dari hasil usaha manusia.


2. TIDAK DIPEKERJAKAN

Binatang ternakan yang digunakan untuk bekerja seperti membajak tanah ladang dan mengambil air untuk menyirami tanaman tidak ubah seperti alat-alat yang digunakan untuk mengerjakan tanah tersebut, dan hasilnya yang berupa tanaman dan buah-buahan lah yang sepatutnya wajib dikeluarkan zakatnya.



Zakat dan Cukai

LAYANAN CUKAI PENDAPATAN KE ATAS ZAKAT [REBAT]

Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3): “Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayaran¬nya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis”

Semua pembayaran zakat (termasuk qadha zakat) boleh ditolak daripada cukai pendapatan individu berdasarkan [Akta Cukai Pendapatan 1967 Seksyen 6A (3)] pada tahun semasa.


Contoh 1

Cukai dikenakan bagi tahun taksiran 2017
Zakat yang telah dibayar dalam tahun 2017
Baki yang perlu dibayar kepada LHDN
RM 3,000.00
RM 2,500.00
RM 500.00

Contoh 2

Cukai dikenakan bagi tahun taksiran 2017
Zakat yang telah dibayar dalam tahun 2017
Baki yang perlu dibayar kepada LHDN
RM 2,500.00
RM 2,500.00
RM 0.00


LAYANAN POTONGAN CUKAI BERJADUAL (PCB) DENGAN POTONGAN ZAKAT BERJADUAL (PZB) [PEREMITAN MENGIKUT KADAR ZAKAT]

Mengikut Warta Kerajaan bertarikh 1 Januari 2001 berkenaan dengan kaedah-kaedah Cukai Penda¬patan (Potongan Daripada Saraan) (Pindaan) 2000 dan berkuatkuasa mulai Januari 2001, apabila sese¬orang pekerja telah membuat bayaran zakat kepada pihak berkuasa zakat, maka majikan boleh membuat penyesuaian (pelarasan) kepada PCB yang harus di-potong setelah melihat bukti tentang bayaran zakat tersebut. Majikan boleh meremitkan sebahagian mahupun keseluruhan PCB (CP39-PCB Tahun Semasa) kepada Bahagian Zakat & Fitrah (MUIS) seperti mana ditentukan oleh pembayar zakat.