SEJARAH BAHAGIAN ZAKAT & FITRAH(MUIS)


Pada awal penubuhan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sekitar tahun 70-an, unit Baitulmal MUIS diberikan peranan dan tanggungjawab untuk mengurus hal ehwal pungutan dan agihan zakat di Sabah.

Mulai tahun 1994, nama unit Baitulmal telah diubah dan dinaiktaraf kepada Bahagian Baitulmal dan Zakat selaras dengan peruntukan di bawah Enakmen Zakat dan Fitrah Negeri Sabah No.6 Tahun 1993.

Pada penghujung tahun 2004, sekali lagi nama Bahagian Baitulmal dan Zakat telah diubah kepada Bahagian Zakat dan Fitrah berikutan pengkorporatan Baitulmal menjadi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, sekaligus menjadikannya dua entiti yang berasingan.

Pada awal tahun 2007, dalam rangka memperkasa institusi zakat sebagai wadah meninggikan syiar Islam di Sabah menerusi pengurusan yang professional, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Pengurusan Zakat, Jabatan Ketua Menteri yang dipengerusikan oleh YB Datuk Seri Hj. Nasir Tun Hj Sakaran untuk membuat penelitian dan kajian bagi menentukan hala tuju pengurusan zakat di Sabah. Dalam masa yang sama, nama Bahagian Zakat dan Fitrah diberikan nafas baharu dan penjenamaan semula dengan mengetengahkan nama komersial “Pusat Zakat Sabah”. Meskipun sedemikian, ianya masih kekal sebagai salah satu bahagian di bawah struktur pentadbiran MUIS.